Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh menerima laporan interim mengenai kehilangan penerbangan Malaysia Airlines MH370 dan khuatir terdapat ‘permainan teknologi’ berhubung kehilangan pesawat tersebut.
Beliau berpendapat adalah sesuatu yang amat pelik pada zaman ini apabila sebuah pesawat yang beratnya 230 tan boleh hilang sehingga tidak boleh dijumpai.
“Saya masih tidak boleh terima segala laporan ini. Dalam zaman komunikasi yang begitu baik, kita tidak tahu apa jadi. Sedangkan kita boleh tengok rupa bentuk kawan kita yang duduk 12,000 batu dari sini.
“Tapi pesawat ini misteri, hilang semua. Tidak pernah jadi dalam sejarah dunia. Saya khuatir ada permainan teknologi,” katanya ketika diminta mengulas mengenai laporan interim Pasukan Penyiasat Keselamatan Lampiran 13 ICAO Malaysia mengenai pesawat MH370 yang dikeluarkan, semalam.
Dr Mahathir ditemui selepas berakhir ‘International Conference On The New World Order: A Recipe For War or Peace’ (Persidangan Antarabangsa Mengenai Orde Baharu Dunia: Resipi untuk Peperangan atau Keamanan) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Beliau turut menyifatkan dakwaan bahawa juruterbang menenggelamkan pesawat berkenaan di Lautan Hindi sebagai tidak logik.
“Saya ingat ini agak pelik. Kalau dia nak bunuh diri, dia bunuh diri tempat dia mulalah (terbang). Apa hendak bawa kapal terbang empat lima jam cari tempat paling dalam (di Lautan Hindi),” jelas Dr Mahathir.
Semalam, laporan interim yang disediakan Pasukan Penyiasat Keselamatan Lampiran 13 ICAO Malaysia mengenai MH370, diumumkan.
Laporan itu, antara lain menyatakan pasukan berkenaan telah menemubual lebih 120 orang dan mengunjungi pelbagai badan berkaitan.
Antara yang ditemu bual ialah petugas DCA, MAS, waris anak kapal, pengisi minyak pesawat, penyaji makanan untuk penerbangan, pencuci pesawat, pengendali dan operator kargo, penghantar barangan, pembekal dan penerima konsain.
Penerbangan MH370 yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang, hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Mac.
Kehilangan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, dan di sebalik gerakan mencari besar-besaran yang pernah dilancarkan dalam sejarah penerbangan, nasib pesawat Penerbangan MH370 masih menjadi misteri.
Ketika usaha mencari yang diketuai Australia diteruskan di Lautan Hindi, semakin banyak pihak ingin tahu bagaimana dan mengapa pesawat Boeing 777 yang canggih serta membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal boleh hilang dari skrin radar tanpa dapat dikesan.
Rata-rata pihak berkuasa serta pakar penerbangan masih bingung mengenai kehilangan pesawat MH370.
Mereka percaya hanya kotak hitam pesawat itu boleh menjelaskan mengapa ia menyimpang daripada laluan penerbangan dan kemudian menghala ke selatan merentasi Lautan Hindi yang luas.
Kurangnya fakta serta kekeliruan yang berlaku di peringkat awal kehilangan MH370 mencetuskan pelbagai andaian yang tidak berasas.
Pada masa yang sama, dalam tempoh yang singkat muncul ramai ‘pakar penerbangan’ yang tidak diundang melontarkan teori masing-masing mengenai kehilangan pesawat MH370.
Pelbagai teori konspirasi mengenai nasib pesawat MH370 muncul satu demi satu namun tiada satu pun yang dapat memberikan petunjuk kukuh apa yang sebenarnya berlaku dalam penerbangan MH370 itu.
Pelbagai Teori
Menjelang setahun kehilangan pesawat MH370, muncul lagi teori konspirasi dan yang terkini oleh Jeff Wise, wartawan sains dan penulis.
Beliau mendakwa kononnya pesawat malang itu dirampas atas arahan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan diterbangkan ke satu landasan terbang terpencil di Kazakhstan.
Persoalannya ialah mengapa pula Putin mahu merampas kapal terbang Malaysia?
Pada 3 Mac, seorang juruterbang kanan Boeing 777 mendakwa kononnya penerbangan MH370 berlegar di ruang udara Pulau Pinang iaitu kampung halaman juruterbang itu seolah-olah mengucapkan selamat tinggal sebelum penerbangan pesawat itu menjunam ke laut.
Kapten Simon Hardy mengemukakan teori ini berdasarkan data penerbangan MH370 dan perkara ini telah diterbitkan dalam majalah Flight International serta laman sesawang flightglobal.
Teori Hardy mengingatkan semula kesangsian awal tentang kemungkinan juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah dengan sengaja melencongkan pesawat itu.
Bagaimanapun, sehingga hari ini masih belum ada bukti untuk menyokong dakwaan itu.
Pada bulan Disember 2014, mantan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat penerbangan Perancis, Marc Dugain menulis artikel enam halaman yang disiar dalam Paris Match mendakwa kononnya pihak Amerika mungkin telah menembak jatuh pesawat MH370 ketika ia terbang menghampiri pangkalan tentera AS di atol Diego Garcia di Lautan Hindi.
Pihak tentera AS didakwa kononnya berbuat demikian kerana cemas pangkalan itu akan diserang ala-9/11.
Tentera AS didakwa telah menyembunyikan insiden itu tetapi kedutaan AS di Kuala Lumpur menyangkal dakwaan ini dan menyatakan tidak ada petunjuk bahawa pesawat MH370 telah terbang berhampiran pangkalan tentera Amerika itu.
Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed juga mempunyai andaiannya sendiri apa yang mungkin telah berlaku kepada pesawat MH370.
Dalam blognya kira-kira dua bulan selepas pesawat itu hilang, beliau menulis “orang tertentu” telah merampas pesawat itu daripada juruterbangnya menggunakan kawalan jarak jauh.
Hujah beliau berdasarkan kepada paten yang diterima oleh Boeing pada tahun 2006 untuk “sistem pendaratan automatik anti pengganas” yang apabila diaktifkan, mengambil alih semua kawalan daripada juruterbang untuk membawa pesawat komersial ke lokasi pendaratan yang ditentukan.
Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak menyebut siapa “orang tertentu” itu di sebalik komplot berkenaan. Nampaknya masih belum ada jawapan kepada kehilangan pesawat MH370.
No comments:
Post a Comment